PTS Tesaurus Bahasa Melayu
Product SKU: 9789833376346
Tesaurus menyenaraikan perkataan-perkataan dan frasa yang serupa maknanya. Kegunaan tesaurus ialah membantu pengarang menghasilkan tulisan yang segar gaya bahasa. Gantikan perkataan yang suda klise dengan perkataan ataupun frasa lain yang sama maknanya.
Bahasa Melayu semakin meluas dan mantap digunakan dalam sistem pendidikan kebangsaan, pentadbiran kerajaan, pengurusan syarikat-syarikat dan perhubungan harian di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Para pengguna bahasa Melayu menjadi bertambah peka memilih perkataan-perkataan untuk digunakan dalam konteks-konteks yang berlainan. Kami menyusun tesaurus ini demi memenuhi keperluan tersebut. Sebuah tesaurus menyenaraikan perkataan-perkataan yang mempunyai konsep yang sama tetapi digunakan dalam konteks yang berlainan. Perkataan-perkataan yang disenaraikan dalam tesaurus ini mengandungi konsep-konsep yang meliputi bidang-bidang yang luas bagi memenuhi permintaan semua pengguna bahasa Melayu. Tesaurus ini juga memasukkan perkataan-perkataan terkini seperti canggih, wahana, prihatin dan lain-lain. Kami menggunakan kaedah terbaru dalam menyusun tesaurus ini. Ada dua perkara baru yang kami lakukan. Pertama, semua perkataan entri disenaraikan menurut abjad, sama seperti sebuah kamus biasa. Kedua, setiap perkataan konsep timbul berulang kali sebagai entri dan padanan kepada entri-entri lain. Kaedah ini memudahkan pengguna mencari perkataan yang dikehendaki. Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Puan Jamaayah Muhamad, Cik Khadijah Abd. Rahman, Cik Salasiah Zakaria, Cik Zanariah Mohd. Salleh dan Encik Shamsudin Mohd. Salleh yang membantu proses menyediakan manuskrip ini. Usaha dan dedikasi mereka membolehkan tesaurus ini diterbitkan.
Abdullah Hassan M.A. (Mal.), PhD. (Edin.) Ainon Mohd. M.A. (Leeds) Kuala Lumpur, Januari 2002