Laman Utama

Gedung Buku Online Terbesar Malaysia

 

Saturday
Nov 22nd

Tetralogi Laskar Pelangi

E-mailPrintPDF

Kelebihan Laskar Pelangi

Sumber: Utusan Malaysia 15.02.2009

novel_laskar_pelangi

NOVEL Laskar Pelangi karya Andrea Hirata mencipta fenomena di Indonesia. Munculnya Laskar Pelangi bagaikan suatu kejutan di tengah-tengah masyarakat sastera yang masih 'hanyut' olehAyat-ayat Cinta, dan ada semacam polemik yang panas tentang Ayu Utama juga.

Novel ini merupakan buah tangan pertama Andrea Hirata. Apakah yang istimewa di dalamnya kalau begitu? Laskar Pelangi sebenarnya bertolak dari premis yang cukup mudah. Ia menggarap kenangan, atau secara jujurnya sobekan-sobekan ingatan pengarang tentang kisah dan pengalaman masa kecilnya.

Kalau begitu, ia bukan sebuah karya jenis yang baharu. Karya jenis yang baharu menampilkan idea yang tidak sekecil itu tentunya kalau kita mahu melihat idea dalam karya. Garapan Andrea Hirata juga ternyata biasa-biasa sahaja. Ia mampu digarap oleh sesiapa sahaja, apatah tentang sesuatu yang telah dialami, semacam nostalgia atau pun mirip memoir yang diberi solekan kreatif yang agak tebal.

Namun, apa yang boleh dikatakan munculnya Laskar Pelangi telah membentuk sebuah landskap baru yang cukup segar dalam kesusasteraan moden Indonesia. Ia mula terbit September 2005. Novel Laskar Pelangi secara pantas diserkap khalayak pembaca, dan sehingga Januari 2008 (yakni naskhah yang ada di tangan saya), novel ini sudah dicetak 17 kali.

Penggemar dan peneliti sastera di Indonesia pula pantas memberikan resensi mereka. Ada semacam komentar di sana-sini. Diskusinya cukup luar biasa. Andrea Hirata dicari untuk dipetik pandangan dan didekati pemikirannya. Akan tetapi, siapakah pula Andrea Hirata itu?

Andrea anak jati Belitong, secara tepatnya pula dijadikan latar novel ini. Sebuah pulau di Sumatera, Belitong terkenal kerana bijih timahnya. Akan tetapi, di dalam novel ini ia diberikan sosok yang cukup murung apabila sebahagian penduduknya relatif miskin. Siapakah yang memiliki kekayaan Belitong jika demikian? Andrea anak sekolah yang cerdas. Pintar dalam pelajarannya. Pengajiannya hingga Universitas Indonesia. Setelah ditawarkan biasiswa Uni Eropa, dia langsung ke Perancis menyambung pengajian Master Sains, seterusnya ke Sheffield Hallam University, di United Kingdom. Khabarnya, tesisnya tentang ekonomi telekomunikasi mendapat penghargaan kedua-dua universiti tempatnya belajar, sekarang diadaptasi ke bahasa Indonesia dan merupakan buku teori ekonomi telekomunikasi pertama yang ditulis oleh orang Indonesia.

Berbalik kepada novel Laskar Pelangi, yang juga merupakan buku pertama dari tetralogi Andrea, memulakan kisahnya di sekolah dasar (sekolah rendah) Muhammadiyah di Belitong, yang berkemungkinan ditutup disebabkan tidak cukup pelajar yang mendaftar. Sembilan daripadanya ialah Lintang, Sahara, A Kiong, Kucai, Syahdan, Mahar, Trapani, Flo dan aku, manakala Harun merupakan pelajar kesepuluh yang mendaftar, yang menamatkan debaran kemungkinan ia ditutup itu.

Antara gurunya, Pak Harfan. Manakala Guru Besar, Bu Mus. Begitu dedikasi kedua-duanya, dan lihatlah betapa berpotensinya anak-anak dalam kapasiti diri masing-masing.

Di sinilah bermulanya 'kembara' Laskar Pelangi. Cerita tentang anak-anak, dunia pendidikan, latar sosioekonomi yang serba membatasi, kekurangan dibandingkan sekolah untuk anak-anak orang berada yang serba cukup, suka dan duka, tawa dan air mata, pengarang membawa kita selangkah demi selangkah masuk ke satu jalur kehidupan yang amat luar biasa

Keluarbiasaan inilah yang menjadikan Laskar Pelangi hebat. Andrea Hirata menulis seada-adanya. Pengarang menjadikan dirinya pencerita yang sesungguhnya serba jujur. Dia jujur menceritakan keadaan, dia jujur menyatakan perasaannya. Dia jujur tatkala mengomentari rakan-rakannya yang lain. Kejujuran ini menjadikan ceritanya begitu berharga.

Dunia kanak-kanak di mana-mana pun serupa. Akan tetapi, di tangan Andrea ia menjadi istimewa. Pengarang tidak berlebih-lebih dalam membuat diskripsi baik situasi, watak dan ideanya. Dia seperti membiarkan semuanya mengalir tanpa sekatan. Namun, jika diperhatikan pengarang masih mengambil hanya yang signifikan juga.

Dari situlah pembaca dibawa bergerak. Momentum yang dicipta Andrea sederhana. Ia sesuai kerana yang dipaparkan ialah anak-anak yang sedang dibawa masuk ke dunia ilmu. Mereka berada dalam satu ruang untuk diberikan pendidikan. Sehingga ke tahap ini, kita sendiri pula akan bertanya, apakah erti sebenarnya pendidikan?

Andrea tidak menyatakan. Bu Mus yang menyatakan. Andrea hanya memaparkan. Rakan-rakannya yang sembilan lagi itulah yang merumuskan. Di sini, Laskar Pelangi menjadi istimewa. Keistimewaannya kerana pengarang membiarkan cerita digerakkan dalam susun atur momentum yang mengalir dengan tenang.

Sungguhpun demikian, dalam tenang itu tetap ada geloranya, sekali pun ia dunia kanak-kanak. Pengarang sesekali mengomentari juga; tentang kehidupan, psikologi, falsafah, manusia dan kemanusiaan, yang semuanya teradun cantik sehingga hingga hanyut dalam arus perkembangan anak-anak itu, sedar-tak-sedar mereka sudah ke sekolah menengah, dan dalam bahagian yang lain, yakni selepas 12 tahun kemudian kita ditemukan anak-anak sebagai manusia dewasa yang sudah berjaya, serta menempuhi nasib yang berbeza-beza.

Andrea tidak menjadikan urutan masa - sebagaimana lazimnya cereka - sebagai asas untuk dia meletakkan peristiwa. Laskar Pelangi bertolak daripada peristiwa. Jika ia adalah kepingan-kepingan, maka kepingan-kepingan inilah yang akhirnya menjadi sekeping foto novel ini yang sebenarnya. Andrea bijak memilih teknik ini, ia dikatakan baru dan sedang terkenal khususnya di Eropah.

Laskar Pelangi menjadi cantik dan berjaya memukau perhatian pembaca kerana ia memilih peristiwa lebih daripada masa sebagai keutamaannya. Pembaca mungkin ditunjukkan watak itu tatkala di sekolah dasar (rendah) dan sekilas lagi tatkala di sekolah menengah. Latar masa seperti dileburkan. Peristiwa dan perkembangannya menjadi teraju. Dan, demikianlah dari bab ke bab, Andrea membawa kita turut sama berkembang bersama watak-wataknya.

Sekali lagi, kita melihat bahawa kejujuran Andrea yang titik terpenting kejayaan novel ini. Dia tidak berlebih-lebih, mengurangi juga tidak. Seluruhnya terasakan cukup untuk pembaca mengetahuinya, merasainya dan beroleh kepuasan. Bahagian yang mengisikan kisah cinta 'aku' dengan A Ling misalnya sangat memukau. Ia hanya bermula dengan melihat kuku A Ling yang cantik. Pertemuan, kisah cinta dan pernyataan isi hati 'aku' selanjutnya amatlah menakjubkan dalam garapan Andrea. Bahasa Andrea cukup sederhana. Bahasa apakah yang boleh digunakan lagi untuk memaparkan watak-watak, kehidupan dan dunia yang seperti ini. Namun, cukup impresif.

Andrea kadang-kadang seperti tidak mengarang novel. Dia sedang menulis esei. Dalam eseinya sarat maklumat. Misalnya: Dan, inilah yang paling menyedihkan dari seluruh kisah ini. Karena tak selembar pun daun jatuh tanpa sepengetahuan Tuhan maka tak absurd untuk menyamakan PN Timah dengan The Tower of Babel di Babylonia. Sebuah analogi yang pas karena setelah membentuk provinsi baru kawasan itu juga disebut Babel: Bangka Belitung.

Sesungguhnya banyak yang istimewa dalam novel Laskar Pelangi . Di dalamnya ada kasih sayang manusia yang sukar digambarkan. Keikhlasan dalam memberikan pendidikan, sehingga kita tidak tahu apakah erti sebenarnya kalau melihat anak-anak Laskar Pelangi (nama yang diberi Bu Mus) terdidik dan kukuh atas bakat dan kekuatan yang masing- masing miliki. Saya kira inilah yang mahu dikatakan Andrea. Imaginasi Andrea sendiri luar biasa. Dia mencipta satu keyakinan kita bahawa ilmu itu dibina daripada cinta dan pengorbanan yang sangat besar.

 

 
VirtueMart
Your Cart is currently empty.


Follow us on Twitter